Monday 7 September 2009

Kempen Derma RM50 sebulan selama 20 bulan untuk Dana Pembinaan Masjid Al-Mustaqim

Assalamu alaikum wr wb wm.

Saudara/saudari sekelian,

Syukur ke hadrat Allah S.W.T yang telah merestui penduduk untuk membina sebuah masjid bagi menampung keperluan beribadat dan juga mewujudkan pusat tumpuan umat Islam di Bandar Seri Putra.

Masjid yang diberi nama Masjid Al-Mustaqim ini akan dibina di tapak yang telah disediakan oleh pemaju Bandar Seri Putra seluas 3.6 ekar. Pembinaan masjid ini dianggarkan memerlukan kos sebanyak RM6 juta.

Oleh kerana tiada peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Pusat, Ahli Jawatankuasa Pembinaan Masjid mengambil initiatif untuk mengumpul dana ini. Kebenaran dari jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) juga telah diperolehi.

Pelbagai kaedah sedang diusahakan untuk mengumpul dana ini termasuklah mengedarkan tabung ke masjid-masjid berhampiran, kutipan derma dari syarikat-syarikat perniagaan dan derma secara ón-line'. Namun setakat ini ianya hanya menyumbang kepada peratusan yang agak kecil.

Justeru itu, AJK memohon penduduk Bandar Seri Putra bersama-sama menghulur bantuan sedaya mungkin untuk menjayakan matlamat mengumpul dana ini. Secara perkiraan, dana sebanyak RM6 juta mampu dikumpul dalam masa hanya 20 bulan, yang mana Bandar Seri Putra mempunyai penduduk melebihi 6,000 keluarga. Sekiranya setiap keluarga menderma hanya RM50 sebulan selama 20 bulan, maka matlamat kita akan tercapai InsyaAllah.

Sumbangan bolehlah dibuat di atas nama Masjid Al-Mustaqim atau bank-in terus ke akaun Maybank Islamic no. akaun:5628 3450 4024. Dapatkan kupon RM10, RM50 dan RM100 (sebagai resit wakaf/derma) dari pegawai-pegawai yang dilantik.

Semoga niat dan usaha kita diberkati Allah S.W.T.

Terima kasih.

Ahmad Yusof
b/p AJK Masjid Al-Mustaqim
Bandar Seri Putra